PUTRAJAYA - Malaysia dan Indonesia telah mengadakan perbincangan bagi meneroka bentuk kerjasama untuk menangani kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera yang menjadi punca jerebu rentas sempadan.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan itu melibatkan kementerian dan agensi berkaitan daripada kedua-dua negara, termasuk Kementerian Luar (KLN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta Majlis Keselamatan Negara (MKN)."Ketua Setiausaha Kementerian Luar (Tan Sri Amran Mohamed Zin) telah pun berbincang dengan MKN dan NADMA, serta pihak Indonesia untuk kita menangani secara bersama-sama isu kebakaran ini. Ini adalah perkembangan terbaharu."(Cara bekerjasama) itu terpulang kepada hasil perbincangan, tetapi perbincangan antara kedua pihak itu adalah untuk pertama kalinya. Pihak berkuasa Indonesia dan pihak berkuasa Malaysia telah memulakan perbincangan cara mana untuk kita dapat berkerjasama menangani isu jerebu yang nampaknya makin lama makin teruk," katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Grid Connected PV System) oleh Kementerian Kerja Raya kepada KLN dan tiga lagi premis kerajaan, di sini hari ini.Mohamad berkata, perbincangan berkenaan merupakan langkah awal kedua-dua negara untuk mencari kaedah kerjasama bagi menangani isu kebakaran hutan dan jerebu yang berlarutan hampir dua bulan.Beliau berkata, jerebu yang berpanjangan itu bukan sahaja menjejaskan Malaysia, malah turut mengancam kesihatan penduduk Indonesia dan Singapura.Isnin lepas, Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ke-49 blok itu di Manila, Filipina, bulan depan bagi membincangkan mekanisme serantau yang lebih berkesan menangani masalah itu. - Bernama