TAWAU - Polis melepaskan tembakan amaran terhadap suspek kes samun bersenjata selepas bertindak agresif dan menyerang anggota polis dalam kejadian di perkampungan atas air, Kampung Titingan di sini pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, dalam kejadian pada 4 petang itu, suspek menyerang polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut."Ketika dikejar, suspek bertindak memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis menyebabkan tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum lelaki itu berjaya ditangkap."Dalam kejadian itu, dua anggota polis turut mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Rosdi berkata suspek diburu selepas disyaki melakukan samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun, pada 3.50 pagi hari yang sama."Dalam kejadian samun itu, suspek dan dua rakannya yang bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM3,500," katanya lagi.Beliau berkata, sebatang besi turut dirampas manakala suspek lelaki warga asing berusia 30-an, tidak memiliki dokumen pengenalan sah dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine dan amphetamine.Sementara itu Rosdi berkata, video berdurasi 1.29 saat yang tular di media sosial, sebenarnya memaparkan tembakan amaran dan bukannya insiden berbalas tembakan ketika operasi terbabit."Polis masih mengesan dua lagi suspek kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 354 Kanun Keseksaan," katanya.Polis meminta orang ramai tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norhafizah Hussin menerusi talian 012-527 9004.