KUALA LUMPUR: Sebarang kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada sekitar RM2,000 wajar dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyesuaikan struktur kos serta mengelak tekanan terhadap operasi perniagaan.

Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Dr Chin Chee Seong, berkata jika kerajaan tetap mahu melaksanakan kenaikan berkenaan, pendekatan berperingkat seperti kenaikan RM100 dalam tempoh enam bulan pertama dan RM100 lagi untuk enam bulan berikutnya boleh dipertimbangkan.

Katanya, SME Malaysia tidak menolak keperluan meningkatkan pendapatan pekerja, namun keadaan ekonomi dan kemampuan perniagaan perlu menjadi antara pertimbangan utama sebelum sebarang pelarasan baharu dibuat.