JOHOR BAHRU: Perkhidmatan penumpang bagi Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka bermula pada Februari 2027 dengan sasaran semua ujian sistem dan operasi percubaan selesai menjelang 31 Disember tahun ini.
RTS Operations Pte Ltd (RTSO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tempoh masa itu mengambil kira jangka masa bagi baki kerja dan masa diperlukan untuk pensijilan keselamatan oleh pihak ketiga serta kelulusan daripada pihak berkaitan di kedua-dua negara.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai bagi RTS Link,” menurut kenyataan itu.
RTS Link adalah projek penting antara Malaysia dan Singapura yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.
Perkhidmatan itu akan mempunyai kapasiti waktu puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah dengan perjalanan antara kedua-dua stesen dijangka mengambil masa kira-kira lima minit.








