PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM600,000 kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kes fitnah berkaitan unsur nadir bumi (REE) dan penyelewengan dana di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Saifuddin Nasution, dan Yusfarizal Yussoff bagi pihak Muhammad Sanusi.
"Kami telah menetapkan 16 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh penyampaian keputusan," kata Azhahari Kamal yang bersidang bersama-sama Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.









