KUALA LUMPUR: "Jangan menggadaikan simpanan hanya untuk kemewahan sehari hingga menanggung hutang berdekad-dekad."
Itu pendirian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, dalam merancang majlis perkahwinannya bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.
Syed Saddiq berkata, aspek pengurusan kewangan diberi perhatian serius kerana beliau mahu memastikan majlis perkahwinan yang dirancang tidak menjadi beban kewangan kepada mereka selepas bergelar suami isteri.
Malah, katanya, isu kewangan juga antara perkara yang sering dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga.
"Saya kongsikan dengan bakal isteri saya, kita buat yang terbaik sebab nak hantar mesej yang baik. Saya adalah orang yang bercakap berdasarkan data, jadi saya pandang perkara ini secara serius," katanya ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq, di sini, hari ini.






