Berdasarkan laporan saringan kesihatan psikologi MyPsyD oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), seramai 55,169 penjawat awam Malaysia dikategorikan berisikSo tinggi. Angka ini bukan sahaja membangkitkan kebimbangan terhadap kesihatan mental, malah mendorong penilaian semula terhadap beban tugas, tekanan kerja dan amalan pengurusan organisasi.

Selain sokongan psikologi profesional, organisasi sektor awam perlu menilai cara kerja sedia ada bagi mengurangkan tekanan yang tidak perlu.

Dalam konteks ini, kepimpinan keusahawanan boleh dipertimbangkan sebagai pendekatan pengurusan yang menggalakkan kreativiti, penyelesaian masalah dan penambahbaikan berterusan tanpa mengabaikan kesejahteraan pekerja.

Kepimpinan keusahawanan menggalakkan pemimpin mengenal pasti masalah sebelum menjadi lebih serius. Peningkatan ketidakhadiran, kemerosotan prestasi atau konflik berulang mungkin menunjukkan cabaran di tempat kerja yang memerlukan perhatian.