Kuala Lumpur: Pernah didiagnosis mempunyai Major Depressive Disorder (MDD) dan diuji dengan kemalangan teruk, namun ia tidak mematahkan minat serta semangat wanita ini untuk terus menghasilkan karya lukisan diminati.

Pelukis, Nik Nuur Syari'ah Nik Soh, 29, berkata, dia pernah didiagnosis mempunyai MDD pada 2020 dan terbabit dalam kemalangan di Ipoh, Perak pada 2021 sehingga menyebabkan kesan sampingan seperti cepat penat, pening serta kehilangan deria bau kekal.

Menurutnya, selepas terbabit kemalangan dan dalam proses pemulihan, dia mula menghasilkan beberapa jenis karya lukisan yang kemudiannya dijual kepada jiran.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu bagaimanapun berkata, ia tidak kekal lama dan dia terpaksa menghentikan penghasilan karya itu disebabkan kekangan kewangan.