Konsert National Symphony Orchestra (NSO) with Aubrey Suwito - Pop Meets Symphony di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), baru-baru ini yang mengangkat karya popular komposer terkenal itu dengan susunan orkestra berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 penonton.
Lebih memberangsangkan, konsert selama dua malam itu dimantapkan dengan persembahan bertenaga tiga penyanyi iaitu Ernie Zakri, Syamel dan Shiha Zikir.
Secara peribadi, Aubrey mengakui dia berasa puas apabila persembahan bersama barisan pemuzik NSO mendapat sambutan positif dari penonton.
Menurutnya, pada mulanya, dia berasa bimbang dengan penerimaan penonton kerana persembahan berkonsepkan orkestra mempunyai cabarannya tersendiri dan belum tentu diterima semua lapisan pendengar.






