PETALING JAYA – Selepas kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu mencetuskan pelbagai reaksi semalam, calon Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) hari ini pula berkongsi pengalaman mereka menjawab kertas subjek Sains dan Matematik.
Difahamkan sebahagian calon mengatakan bahawa kertas Sains dikatakan lebih mudah namun berbeza bagi subjek Matematik.
Seorang ibu di media sosial berkongsi bahawa anaknya menganggap soalan Sains tidak terlalu sukar termasuk soalan berkaitan pucuk tumbuhan.
“Anak saya kata senang je. Yang Sains keluar pucuk-pucuk tumbuhan tu, okeylah,” katanya.
Ada juga yang berkongsi bahawa calon di rumahnya pulang dengan senyuman selepas mendapati kertas Sains lebih mudah berbanding kertas yang dijawab sehari sebelumnya.








