DI sebalik pagar dan dinding Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), tersimpan pelbagai kisah kehidupan individu yang pernah tersasar akibat pengaruh dadah.

Namun, label bekas penagih tidak seharusnya memadam hakikat bahawa mereka juga manusia yang menyimpan impian, menyayangi keluarga dan mengharapkan peluang untuk memulakan hidup baharu.

Ada yang datang selepas kehilangan pekerjaan, hubungan keluarga retak atau kehidupan yang semakin jauh daripada landasan, namun berada di PUSPEN membuka ruang untuk mereka membina semula kehidupan sedikit demi sedikit.

Bagi sebahagian penghuni, tempoh menjalani pemulihan bukan sekadar usaha meninggalkan ketagihan, sebaliknya menjadi titik perubahan untuk mengenali semula diri, memperbaiki hubungan dengan keluarga dan mempersiapkan diri kembali ke tengah masyarakat.