Ahmad Samsuri Mokhtar cadang keupayaan negeri menjana hasil, jurang infrastruktur dan kos pembangunan diambil kira dalam menentukan peruntukan persekutuan.KUALA LUMPUR: Peruntukan persekutuan kepada negeri perlu ditentukan melalui formula yang telus berdasarkan keperluan pembangunan masing-masing, bukan budi bicara Putrajaya atau pertimbangan politik, kata seorang ahli Parlimen pembangkang.

Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) berkata formula itu perlu mengambil kira empat faktor, iaitu keperluan kewangan setiap negeri, keupayaan menjana hasil, jurang infrastruktur serta kos pembangunan dan penyediaan perkhidmatan awam.

“Peruntukan perlu berdasarkan kriteria yang jelas, bukan semata-mata atas budi bicara kerajaan persekutuan, apatah lagi pertimbangan politik atau hubungan peribadi,” kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.