Alam sekitar antara anugerah Allah SWT yang paling bernilai kepada kehidupan manusia. Udara bersih, air mencukupi, tumbuh-tumbuhan menghijau dan persekitaran yang nyaman menjadi asas kepada kesejahteraan kehidupan.
Namun, perkembangan dunia moden memperlihatkan keadaan alam yang semakin membimbangkan. Peningkatan suhu bumi, pencemaran udara, kemusnahan hutan dan fenomena jerebu bukan sahaja menjejaskan keseimbangan ekosistem, malah mengancam kesihatan serta keselamatan manusia.
Persoalannya, sejauh manakah manusia menyedari menjaga alam sekitar tanggungjawab agama dan bukan sekadar tuntutan kehidupan?
Dalam perspektif Islam, alam semesta diciptakan oleh Allah SWT dengan penuh hikmah, keseimbangan dan tujuan tertentu. Penciptaannya bukanlah sesuatu yang sia-sia, sebaliknya mengandungi pelbagai manfaat untuk manusia mengenali kebesaran Allah, meneruskan kehidupan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Dia telah memudahkan untuk kamu segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi, semuanya daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Jathiyah ayat 13)








