Pernah dianggap tidak cukup 'macho' kerana memilih pidato, individu yang mahu dikenali sebagai Mohammad Syahrie, 18, membuktikan keberanian lelaki bukan hanya terletak pada kekuatan fizikal, sebaliknya kemampuan menguasai ilmu dan mempertahankan hujah.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam, Sandakan, Sabah itu akhirnya dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan 2026.

Namun, di sebalik kejayaan itu, dia berdepan cabaran apabila suaranya hampir hilang dua hari sebelum pertandingan ketika persediaan untuk beraksi di pentas kebangsaan semakin suntuk.

Keadaan itu memaksanya mendapatkan rawatan dan merehatkan suara, sekali gus menyebabkan dia terpaksa menghafal teks dalam diam bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.