KUALA LUMPUR: Empat dekad selepas lagu Mulanya Di Sini mencipta fenomena dalam industri muzik serantau, penyanyi dan komposer, Royston Sta Maria kembali bergandingan dengan Shuib daripada kumpulan Freedom untuk menghidupkan semula nostalgia menerusi persembahan istimewa lagu berkenaan.

Persembahan itu menjadi antara tarikan utama acara amal Rocking for a Cause anjuran Musicians for Malaysia (MfM) kali keempat yang berlangsung di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Acara yang menghimpunkan 560 tetamu itu berjaya mengumpul RM85,500 bagi membantu pemuzik yang memerlukan.

Royston yang menetap di Perth, Australia, terbang pulang untuk berkongsi pentas bersama Shuib, mengimbau kembali lagu malar segar yang terus dekat di hati pendengar merentas generasi.