JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu pengesahan rasmi daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) berhubung dakwaan penglibatan ahli politik negara berkenaan melibatkan penemuan dadah sebanyak 521 kilogram dalam sebuah jet sewa yang berlepas dari negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah berkongsikan maklumat diperoleh melibatkan identiti dua individu warganegara berkenaan yang membuat tempahan penerbangan tersebut.
“Kita telah kenal pasti dua individu yang buat tempahan, mereka adalah warganegara Filipina yang berada di sana. Jadi bagi pihak PDRM, kita akan bekerjasama dengan PDEA.
“Kita masih menunggu pengesahan siaran rasmi sama ada sindiket itu melibatkan ahli politik di Filipina ataupun tidak. Apa yang kita dengar adalah apa yang dilaporkan pihak pemberita di negara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.









