PETALING JAYA: Misi serampang dua mata menjadi buruan Speedy Tigers apabila turun menentang juara bertahan, India pada aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Stadium Gifu, hari ini dengan emas dan tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 menjadi sasaran.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan bagaimanapun mahu anak buahnya melupakan tekanan terhadap dua sasaran besar itu dan sebaliknya memberikan sepenuh tumpuan kepada perancangan taktikal bagi menumbangkan pasukan pilihan tersebut.
“India adalah pasukan pilihan dan mereka sebuah pasukan hoki yang sangat bagus. Mereka juga menghasilkan keputusan yang baik dalam saingan Pro League.
“Kami sedar akan cabaran itu, tetapi apa yang boleh kami lakukan adalah memastikan persiapan taktikal berada pada tahap terbaik dan beraksi tanpa tekanan,” kata Carolan dalam video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia.







