SEHELAI kain songket tidak terhasil dalam sekelip mata. Di sebalik jalinan benang yang membentuk motif indah dan kilauan benang emas, tersembunyi ketelitian, kesabaran serta kemahiran tangan yang memerlukan masa untuk dikuasai.
Bagi penenun, setiap gerakan ketika mengendalikan alat tenunan membawa peranan tersendiri. Susunan benang yang kelihatan sederhana akhirnya membentuk corak yang menjadi identiti songket, sekali gus menjadikan warisan tradisional itu lebih daripada sekadar pelengkap busana.
Kehalusan seni inilah yang ingin terus dipertahankan menerusi Hub Songket Gua Musang di Bandar Chiku, Kelantan, yang berpotensi menjadi ruang untuk pengunjung mengenali warisan tenunan negeri itu dengan lebih dekat.






