KOTA BHARU – Bekas pertahanan The Red Warriors (TRW), Mohd Daudsu Jamaludin mencabar barisan baharu pengurusan dan pemain Kelantan memadam dominasi pasukan terdahulu dengan mencipta rekod lebih baik, sekali gus menamatkan perdebatan mengenai kegemilangan silam pasukan itu.Beliau yang berpengalaman selama 15 tahun dalam arena bola sepak berkata, cabaran itu dikemukakan kerana berpendapat perbandingan antara pencapaian TRW terdahulu dengan pasukan semasa akan terus menjadi bualan selagi rekod lama belum diatasi.Beliau berharap pasukan Kelantan ketika ini mampu membuktikan kemampuan mereka untuk melakar kejayaan tersendiri, bukannya terus dibayangi nostalgia zaman kegemilangan TRW."Ini pendapat peribadi saya. Kalau orang tidak setuju, saya minta maaf. Cuma saya harap pasukan yang ada sekarang boleh pecah rekod kami."Saya cabar pengurusan dan pemain-pemain baharu di Kelantan untuk pecah rekod kami supaya perkara ini tidak terus menjadi bualan orang yang mengatakan kita tidak boleh 'move on'," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi sempena perlawanan Ex-Trebel Kelantan menentang Pahang pada 7 November ini di Stadium Darul Makmur, Pahang yang dianjurkan oleh PUC Sport.Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak mempertikaikan penganjuran perlawanan berkonsepkan nostalgia yang menghimpunkan bekas pemain.Daudsu turut berharap pencapaian lebih baik dapat dilakar generasi baharu bagi membolehkan penyokong mempunyai kenangan baharu untuk dibanggakan, sekali gus mengalihkan perhatian daripada perbandingan dengan kejayaan terdahulu."Saya juga harapan agar bola sepak Kelantan kembali mencipta tarikan tersendiri dalam kalangan penyokong," katanya.