Langkawi: Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman, 52, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini, awal pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.21 pagi dan difahamkan kematiannya berpunca daripada kegagalan fungsi organ.

Berita pemergian pegawai kanan polis itu dimaklumkan menerusi media sosial rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, pagi ini.

"Dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman menghembuskan nafas yang terakhir jam 3.21 pagi di Wad Isolusi HSM. Al-Fatihah," menurut hantaran itu.