KUALA LUMPUR: Penduduk yang tidak selesa dengan kehadiran warga asing, termasuk etnik Rohingya yang menyewa di residensi awam dan rumah kos rendah boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perumahan Negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata pihaknya akan turun padang untuk memantau laporan berkenaan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Mereka boleh laporkan kepada PBT dan Jabatan Perumahan Negara untuk kita turun dan pantau," katanya selepas melawat Tapak Projek Residensi Hektar Gombak di Jalan Gombak di sini, hari ini.

Ditanya sama ada terdapat sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan warga asing menyewa di residensi, beliau berkata warga asing memang tidak sepatutnya menyewa kediaman terutama perumahan awam atau rumah kos rendah.