Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempersoalkan dari mana sumber yang diambil pihak yang mendakwa semua hutang berkaitan 1MDB sudah dilunaskan. PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa semua hutang berkaitan 1MDB sudah habis dibayar, sambil menegaskan kerajaan masih perlu menguruskan tanggungan hutang negara yang besar.

Anwar juga mempersoalkan dari mana sumber diambil oleh pihak yang mendakwa semua hutang 1MDB sudah dilunaskan itu.

“Ada yang menyatakan hutang 1MDB dah bayar semua. Saya tak tahu daripada mana, kitab mana dia baca. Itu tak betul,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.

Anwar berkata jumlah keseluruhan hutang negara mungkin meningkat kerana kerajaan masih perlu membayar hutang lama berserta faedah, selain menguruskan keperluan ekonomi semasa.