Kyiv: Taras Shevchenko National University of Kyiv sedang meneroka kemungkinan untuk memperluas pengajian bahasa Asia Tenggara dengan memasukkan Bahasa Melayu, berikutan kejayaan program bahasa Indonesia dan Vietnam di universiti itu.
Pengarah Institut Filologi Pendidikan dan Saintifik universiti berkenaan Hryhorii Semeniuk berkata, institut itu melihat potensi untuk memperluas lagi pengajian bahasa Asia Tenggara, sambil menambah bahawa permintaan terhadap bahasa-bahasa Asia kekal kukuh.
Beliau berkata, institut itu kini mengajar 33 bahasa termasuk Bahasa Indonesia, dan pengalamannya dalam membangunkan pengajian Bahasa Indonesia menunjukkan kepentingan kerjasama dengan negara berkaitan.
"Melihat kepada kejayaan pengajian bahasa Indonesia dan Vietnam, kami berhasrat untuk memperkenalkan bahasa lain seperti Bahasa Melayu dan berkemungkinan Bahasa Filipina (Tagalog)," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.








