Munich: Bayern Munich berkemungkinan turun tanpa pengurus Vincent Kompany, penjaga gol utama Manuel Neuer dan pemain tengah kreatif Joshua Kimmich ketika melayani kunjungan Arsenal dalam aksi Liga Juara-Juara, Khamis ini.

Penolong jurulatih, Aaron Danks berkata, Kompany sedang mengalami jangkitan virus yang kadangkala menjejaskan kakinya, manakala Neuer baru pulih daripada kecederaan ringan dan Kimmich tidak menyertai latihan atas urusan peribadi.

"Vince mengalami jangkitan virus dan penting untuk beliau berehat. Jadi, beliau berada di rumah. Kami akan menilai keadaannya dari hari ke hari. Beliau akan memainkan peranannya dalam perlawanan itu, sama ada di Allianz Arena atau tidak," kata Danks pada sidang media.