Pencalonan dua buah karya terbitan Dream At Work Sdn Bhd dalam kelompok lima terbaik (Top 5) Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 menjadi satu lagi detik bermakna buat syarikat produksi tempatan itu.
Ia sekali gus membuktikan bahawa karya yang berteraskan nilai kemanusiaan, kekeluargaan dan kehidupan masyarakat masih mempunyai tempat dalam industri penyiaran negara.
Telefilem Cinta Yang Menakluki menampilkan Fauziah Ahmad Daud, Rahim Jailani, Nadia Brian, Jay Iswazir, Qisya Hairulzain dan Hawra Jamalullail itu disiarkan menerusi TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Manakala, This Is Pilah - Masuk TV dibintangi Joey Daud, Megat Adli, Azizul Ammar, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datin Fadilah Mansor, Kazar Saisi dan Allahyarham Pyan Habib pula disiarkan menerusi TV1, RTM.






