Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid berkata aduan Bersatu kepada JPPM berasas kerana hak parti itu dinafikan semasa mesyuarat pada 16 Julai.PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Bersatu hari ini mendakwa PAS cuba melemahkan partinya dan menjadikan Wawasan pimpinan Hamzah Zainudin sebagai pengganti Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, mendakwa pemimpin PAS mendesak supaya Bersatu diketepikan dan Wawasan diberi kedudukan lebih tinggi dalam gabungan itu.
“Namun, rancangan itu gagal susulan pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM),” katanya dalam satu kenyataan.
Harris turut mempertahankan aduan Bersatu kepada JPPM dengan menegaskan bahawa parti itu mematuhi peraturan selepas wakilnya dinafikan hak untuk hadir, bersuara dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.






