KOTA TINGGI: UMNO sedia membincangkan kesediaan PAS menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya mengalu-alukan hasrat berkenaan, namun ia perlu dibuat menerusi saluran perbincangan rasmi.
"Kalau itu sesuatu yang mereka berkehendakkan, kita bersedia untuk berbincang tetapi bukan maknanya kita sudah jumpa tetapi sebab dia cakap pada akhbar (media), jadi saya jawab balik kat akhbarlah.
"Saya jawab dari segi umumnya, kalau katakanlah mana-mana pihak yang bersedia untuk bertanding menggunakan logo BN, sangat-sangat kita alu-alukan. Tetapi bersandarkan kepada keputusan pokok," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di Asrama Anak-Anak Yatim Islam di sini, hari ini.










