KUALA LUMPUR: Kedah tidak perlu menunggu sehingga 2036 untuk menyemak kadar cukai tanah negeri itu, sebaliknya boleh meneruskan penilaian semula selepas tempoh minimum 10 tahun genap pada 1 Januari lalu.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Siti Fatimah Abdul Rashid, berkata kadar cukai tanah yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2016 wajar dinilai semula bagi memastikan kesesuaiannya dengan keadaan semasa serta perbezaan kadar antara kategori tanah kekal munasabah.

Katanya, hasil semakan boleh membawa kepada pelarasan berbeza mengikut kelas tanah, sama ada dikekalkan, diturunkan atau dinaikkan selaras peruntukan Seksyen 101(3) Kanun Tanah Negara.