Di sebalik destinasi pelancongan popular Sabah yang sering menjadi tumpuan pengunjung, masih banyak permata tersembunyi menanti untuk diterokai, daripada pulau terpencil hingga pergunungan hijau yang menyimpan keunikan tersendiri.

Bagi Dani Zeeduan, 35, yang juga pekerja bebas dan pencinta alam, meneroka lokasi tersembunyi Negeri Di Bawah Bayu itu bukan sekadar memenuhi minat, malah menjadi peluang memperkenalkan keindahan alam semula jadi serta kehidupan masyarakat tempatan menerusi lensa kamera dan media sosial.

Minatnya terhadap alam bermula sejak kecil apabila membesar di sebuah pulau di Sabah yang dikelilingi hutan tebal sebelum semakin berkembang ketika menyertai persatuan pengakap di sekolah rendah dan menengah.