PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) bekerjasama dengan Maybank untuk menyediakan sokongan pembiayaan tambahan kepada pembeli rumah menerusi kemudahan Maybank MyDeco Financing, sekali gus membantu mereka menampung kos pengubahsuaian dan kelengkapan kediaman.

Menerusi kerjasama itu, pembeli yang layak bagi projek terpilih dan berjaya mendapatkan pembiayaan berkenaan berpeluang menerima Hadiah Eksklusif Pindah Masuk, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Matrix Concepts berkata, tawaran itu terbuka kepada pembeli yang layak bagi projek Verra II, Alera dan Alera II, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 Matrix Concepts.

Katanya, kemudahan Maybank MyDeco Financing membolehkan pelanggan yang layak memperoleh margin pembiayaan tambahan sehingga 30 peratus atau jumlah pembiayaan gabungan sehingga 120 peratus daripada harga pembelian hartanah, tertakluk kepada had maksimum RM250,000.