Kuala Lumpur: Kes penyakit berkaitan jerebu di seluruh negara mencatatkan penurunan ketara hasil pemantauan berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan Dan Respons Krisis (CPRC).

KKM dalam kenyataan memaklumkan, perbandingan data CPRC bagi tempoh 18 hingga semalam berbanding minggu sebelumnya (11 hingga 14 Oktober lalu) menunjukkan penurunan signifikan dalam kesemua tiga kategori penyakit utama yang dikaitkan dengan fenomena jerebu.

"Jangkitan Saluran Pernafasan Atas (URTI) merekodkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak 72 peratus daripada 5,086 kes kepada 1,424 kes.

"Kes asma turut mencatatkan penurunan 58.32 peratus daripada 739 kes kepada 308 kes, manakala kes konjunktivitis atau sakit mata menyusut 73.10 peratus daripada 197 kes kepada 53 kes," katanya.