KUALA LUMPUR: Kes jangkitan saluran pernafasan meningkat 10.4 peratus kepada 3,875 kes bagi Minggu Epidemiologi (ME) 40/2026, berbanding 3,509 kes pada ME 39/2026, susulan keadaan jerebu yang berlarutan sejak kebelakangan ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, kes konjunktivitis atau radang mata turut meningkat 26.47 peratus daripada 102 kepada 129 kes dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, kes asma menurun 13.64 peratus daripada 535 kepada 462 kes.
Menurut KKM, pemantauan penyakit berkaitan jerebu akan terus diperkukuh berikutan pendedahan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesihatan, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit paru-paru dan jantung.








