Berdiri megah di tengah-tengah kota Istanbul, Turkiye, Hagia Sophia bukan sekadar bangunan bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia, malah menyimpan kisah panjang tentang kebangkitan empayar, perubahan agama dan kehebatan seni bina yang bertahan hampir 1,500 tahun.
Melangkah masuk ke dalam bangunan ini, pandangan pastinya tertumpu pada kubah gergasi yang menaungi ruang utama, tiang-tiang besar serta dinding yang dihiasi pelbagai unsur seni bina dari zaman berbeza.
Suasananya bercampur-baur, seolah-olah membawa pengunjung menyusuri lorong masa yang menghubungkan dunia silam dengan kehidupan hari ini.
Namun, di sebalik keindahan yang masih terserlah, Hagia Sophia kini melalui satu lagi fasa penting dalam sejarahnya, iaitu kerja pemuliharaan berskala besar bagi memastikan bangunan berusia berabad-abad itu terus berdiri kukuh untuk generasi akan datang.








