KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 peratus pasangan berhasrat bercerai berjaya disatukan semula selepas menjalani sesi kaunseling keluarga kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Maziah Che Yusoff, berkata pencapaian itu menunjukkan kaunseling berupaya membantu pasangan memahami konflik rumah tangga dengan lebih menyeluruh serta menilai semula keputusan untuk berpisah.
"Walaupun kadar itu mungkin kelihatan kecil, bagi kami ia satu kejayaan amat bermakna memandangkan inisiatif ini baru sahaja dimulakan pada tahun lepas," katanya ketika menjadi tetamu podcast Kasih Lensa Keluarga terbitan Bernama TV di Wisma BERNAMA malam tadi.









