PADA era ledakan teknologi maklumat (IT) hari ini, ruang digital bertukar menjadi pentas teater gergasi tiada tirai penutupnya.
Setiap hari, jutaan pengguna media sosial berlumba-lumba mempamerkan serpihan terbaik kehidupan mereka demi memburu pengesahan digital dalam bentuk likes dan shares.
Budaya pamer diri atau exhibitionism bukan lagi sekadar trend suka-suka, sebaliknya berevolusi menjadi satu obsesi psikologi menuntut kesempurnaan mutlak demi tatapan umum.
Implikasinya, masyarakat hari ini semakin hanyut dalam satu paradoks visual membimbangkan. Kita menyaksikan kerancakan individu menggilap imej luaran untuk kelihatan sempurna di tabir peranti, namun pada masa sama mengabaikan aspek keaslian diri.









