NIBONG TEBAL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan memperhebat penguatkuasaan bagi membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail, berkata ia juga memastikan budaya mengambil bahan larangan kononnya untuk kekal bertenaga ketika memandu tidak menjadi amalan dalam industri pengangkutan.
Katanya, menerusi operasi penguatkuasaan dijalankan di negeri itu sejak Januari lalu, pihaknya mengesan 35 pemandu positif dadah.
Beliau berkata, daripada jumlah terbabit, majoritinya membabitkan pemandu kenderaan perdagangan seperti bas dan lori, sekali gus menunjukkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kategori itu perlu ditangani secara berterusan.









