ALOR SETAR – Mekanisme pengagihan bantuan khas RM1,000 kepada kira-kira 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara perlu diperjelaskan bagi memastikan bantuan itu disalurkan secara telus dan tidak menyebabkan golongan berkenaan tercicir.Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, penjelasan itu penting memandangkan bantuan berkenaan dijadualkan mula diagihkan pada Rabu, namun kaedah untuk mendapatkannya masih belum dimaklumkan secara rasmi.Menurutnya, antara perkara yang perlu diperjelaskan termasuk sama ada pemandu bas perlu hadir sendiri ke Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya untuk mendapatkan bantuan itu atau terdapat kaedah pengagihan lain."Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan ini, bagaimanapun, kita masih tertanya-tanya bagaimana kaedah pengagihannya kerana setakat ini belum ada maklum balas rasmi."Kita tidak mahu nanti pemandu bas sekolah dikatakan tidak datang mengambil bantuan, sedangkan mereka perlu bekerja pada hari persekolahan," katanya.Amali berkata, pihaknya menerima pertanyaan daripada pemandu bas sekolah di beberapa negeri berhubung kaedah mendapatkan bantuan berkenaan, termasuk persoalan yang dibangkitkan menerusi media sosial.Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mengumumkan mekanisme pengagihan yang jelas bagi memudahkan pemandu membuat persediaan serta memastikan tiada penerima yang layak terlepas daripada menerima bantuan tersebut.Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada bantuan berkenaan akan disalurkan terus kepada pemandu atau melalui pemilik permit bas sekolah.Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan masalah keciciran seperti yang didakwa berlaku ketika penyaluran bantuan kepada pengusaha bas sekolah pada tahun 2020."Jadi kita tak naklah pemandu ada yang tercicir contohnya pada tahun 2020 ketika bantuan semasa Covid diagihkan, hanya syarikat pemilik bas sekolah yang berdaftar dengan SSM sahaja, pemandu bas sekolah milik Pertubuhan Anak Yatim atau Koperasi Felda tak dapat, jadi kena jelaskan macam mana cara dia nak agihkan?," soalnya.Dalam pada itu, Amali berkata, berdasarkan statistik Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sebanyak 10,764 permit kenderaan aktif di bawah kelas lesen bas sekolah direkodkan di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 2019 hingga 2026.Manakala, katanya, Sabah dan Sarawak masing-masing merekodkan kira-kira 1,000 permit bas sekolah setakat ini.