Pernah hidup dibelenggu hutang lebih RM1 juta hingga terpaksa 'berumah' dalam kereta, siapa sangka kesusahan dilalui suatu ketika dahulu menjadi titik permulaan buat Ariff Luqman Peter Lisut membantu orang lain keluar daripada kemelut kewangan.

Pengalaman berada pada titik terendah itu mendorong lelaki berusia 30 tahun dikenali sebagai Ariff Peter ini menubuhkan sebuah agensi perunding kewangan yang memberi tumpuan membantu masyarakat keluar daripada masalah hutang selain meningkatkan pengetahuan mereka dalam pengurusan kewangan.

Ariff Peter berkata, hasrat itu sudah lama disimpan, malah pernah bernazar kepada diri sendiri sekiranya berjaya keluar daripada kesusahan, dia mahu menggunakan kesenangan diperoleh untuk membantu mereka yang menghadapi nasib sama.