HAMPIR setiap hari terpampang di dada akhbar dan di kaca televisyen perihal keruntuhan akhlak terutama yang berlaku dalam kalangan remaja. Keruntuhan akhlak yang berlaku mengundang pelbagai salah laku jenayah seperti zina, rogol, minum arak, mencuri dan sebagainya.

Sangat menyedihkan apabila kita dimaklumkan bahawa jenayah juvana semakin meningkat, ada antara pelajar yang belum menamatkan pengajian menggugurkan anak luar nikah, gejala dadah yang semakin menjadi-jadi dan lain-lain berita yang amat mendukacitakan dan menghiris jiwa.

Masalah sosial ini semakin serius dari semasa ke semasa. Justeru, ia memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara bagi menangani masalah ini daripada terus merebak, sekiranya dibiarkan, ia akan memusnah dan menghancurkan bangsa dan negara.