IPOH: Juara bertahan Perak Bison meletakkan sasaran untuk menduduki kelompok tiga teratas pada saingan Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, yang dijangka bermula pada 21 Oktober ini.
Ketua Jurulatih Perak Bison, Mohd Tajuddin Ahmad berkata sasaran itu disifatkan realistik berikutan perubahan struktur pengurusan dan kejurulatihan pasukan, di samping penghijrahan dua pemain utama, iaitu tekong Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin serta apit kiri Aidil Aiman Azwawi ke Terengganu Turtles.
"Tekanan itu memang ada, terutama kerana Perak Bison adalah juara bertahan, tiba-tiba kami kehilangan pula pemain berpengalaman seperti Aidil yang berhijrah ke Terengganu Turtles pada musim ini.
"Di sebalik cabaran ini, saya yakin sasaran kelompok tiga teratas adalah sesuatu yang realistik berbekalkan komitmen pemain dan pihak pengurusan yang bakal membawa cabaran Perak Bison," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 di sini hari ini.






