PHILLIP ISLAND: Cuaca buruk memaksa perlumbaan Grand Prix (GP) Australia MotoGP dibatalkan selepas beberapa kali ditangguhkan di Litar Phillip Island, hari ini.

Perlumbaan yang dijadualkan bermula pukul 2 petang waktu tempatan ditunda ke 4.30 petang bagi memberi peluang keadaan cuaca bertambah baik, namun akhirnya dibatalkan 25 minit sebelum pitlane dibuka.

Hujan lebat yang mengehadkan jarak penglihatan menyebabkan helikopter perubatan tidak dapat beroperasi, sekali gus menghalang perlumbaan diteruskan atas faktor keselamatan.

Mengikut peraturan kejuaraan, helikopter perubatan wajib bersedia untuk membawa pelumba ke hospital melalui udara sekiranya berlaku kecemasan.