KUALA LUMPUR: Harapan pelumba negara, Hakim Danish Ramli, untuk beraksi pada perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Australia di Litar Phillip Island hari ini tidak kesampaian apabila saingan itu dibatalkan susulan jarak penglihatan terhad.

Keputusan itu turut menyaksikan perlumbaan Moto2 dibatalkan, manakala perlumbaan MotoGP dijadualkan semula dengan waktu pembukaan lorong pit sementara ditetapkan pada jam 1 petang waktu Malaysia.

Dalam kenyataan rasmi, penganjur memaklumkan keadaan penglihatan ketika ini menjejaskan keupayaan helikopter perubatan untuk terbang, sekali gus memaksa perlumbaan Moto3 dan Moto2 dibatalkan atas faktor keselamatan.

Penganjur turut memaklumkan tiada sebarang aktiviti di litar akan berlangsung sebelum waktu pembukaan lorong pit yang baharu itu, sementara menunggu keadaan penglihatan bertambah baik.