MELAKA: PKR mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada sembilan calon yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd. Halim berkata, biarpun banyak muka baru ditampilkan kali ini namun mereka yang dipilih adalah calon boleh menang mampu menggugat Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, hanya dua calon parti itu pernah bertanding iaitu Ginie Lim Siew Lin di Machap Jaya sebanyak tiga kali antara 2008 hingga 2018 namun hanya menang sekali pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti besar 1,336 undi.

Beliau berkata, seorang lagi calon parti itu ialah Farzana Hayani Mohd. Nasir yang pernah bertanding di Sungai Rambai pada PRN 2021 namun tewas kepada calon BN, Siti Faizah Mohd Azis dan kini dipilih bertanding di Klebang.