BUKIT MERTAJAM : Permohonan representasi yang dikemukakan oleh peguam kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk menggugurkan pertuduhan terhadap beliau susulan kenyataan kontroversinya berhubung isu Jalur Gemilang sebelum ini telah ditolak oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.
Wakil peguam beliau, Aizat Azam berkata, susulan penolakan representasi pertama yang ditulis pada Disember 2025 itu, pihaknya akan mengemukakan representasi kedua kepada Peguam Negara selepas ini.
Menurut Aizat, ketika ini, pihaknya juga sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada anak guam mereka iaitu Muhamad Akmal sendiri untuk mengemukakan representasi berikutnya bagi menyampaikan fakta, pandangan serta pendapat berdasarkan undang-undang berhubung kes terbabit.






