KUALA LUMPUR: DBS Bank Ltd (DBS), International Finance Corporation (IFC) dan Malayan Banking Bhd (Maybank) menjalin kerjasama dengan Ditrolic Energy Holdings Sdn Bhd bagi memperkukuh kebolehbiayaan dan rangka kerja pembiayaan projek tenaga boleh baharu bernilai AS$6 bilion (RM25 bilion) di Johor, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan projek tenaga rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Rangka kerja itu bertujuan menyelaraskan keperluan pembiayaan projek antara institusi kewangan komersial dan pelbagai hala, selain memperkukuh kesediaan Southern Johor Renewable Energy Corridor (SJREC) untuk mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) dan penutupan kewangan.
Menerusi rangka kerja itu, satu kumpulan kerja akan ditubuhkan bagi mengenal pasti keperluan utama untuk memastikan SJREC memenuhi kriteria kebolehbiayaan, meliputi laluan kawal selia, sambungan grid, perjanjian pembelian tenaga, pembahagian risiko, piawaian alam sekitar dan sosial serta struktur pembiayaan.








