KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepat penggubalan dan pelaksanaan Akta Udara Bersih yang komprehensif bagi menangani masalah jerebu berulang serta memperkukuh usaha mencegah pencemaran udara.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pencemaran udara bukan sekadar isu alam sekitar, malah mengancam kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat.

"Undang-undang itu perlu menyediakan kerangka kukuh untuk mencegah pencemaran, memperketat pemantauan, meningkatkan penguatkuasaan serta memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

"Kerajaan boleh mendapatkan pandangan daripada pakar alam sekitar, profesional kesihatan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak industri," katanya dalam kenyataan, hari ini.