KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad, menjelaskan tujuan asal aplikasi navigasi TuJu dibangunkan adalah untuk menambah baik perkhidmatan di lebuh raya bertol dan bukannya untuk bersaing secara langsung dengan Waze.
Penjelasan itu dibuat susulan timbul persoalan mengenai langkah kerajaan mempromosi TuJu sebagai alternatif kepada Waze, berikutan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi yang dibangunkan secara tempatan itu atas faktor keselamatan negara.
"Ia bukan (aplikasi) navigasi macam Waze. Kita hanya buat kerjasama untuk menambah-baik kita punya pusat pengurusan trafik," katanya dalam wawancara disiarkan portal berita Malaysiakini.









