Alor Setar: Sebanyak 90 kawasan dikenal pasti berisiko banjir di Kedah dengan tumpuan utama di dua lembangan sungai iaitu Lembangan Sungai Kedah dan Lembangan Sungai Muda, ketika negeri itu bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Mohd Bukhori Mat Sidik, berkata kawasan berisiko tinggi di Lembangan Sungai Kedah membabitkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena.

Beliau berkata, bagi Lembangan Sungai Muda pula, daerah yang dikenal pasti berisiko ialah Kuala Muda, Baling, Sik dan Kulim.

Katanya, APM Kedah bersama agensi tindak balas di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah kini berada dalam kesiapsiagaan penuh dengan kekuatan keseluruhan 4,585 anggota.