KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino kuat berpotensi menyebabkan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 membawa hujan lebih sedikit, sekali gus mengurangkan kejadian hujan lebat melampau.
Pakar Klimatologi, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang, berkata perkara itu berdasarkan dapatan beberapa kajian terdahulu yang menunjukkan kecenderungan berkenaan ketika episod El Nino kuat berlaku.
Katanya, El Nino mempengaruhi suhu permukaan laut di rantau ini, sekali gus mengubah corak penumpuan kelembapan menentukan taburan hujan.
Bagaimanapun, katanya, kesan fenomena itu terhadap MTL kali ini mungkin berbeza kerana setiap episod El Nino mempunyai ciri tersendiri, selain dipengaruhi perubahan iklim yang menyumbang kepada peningkatan suhu dan kelembapan.










