MINGGU lalu, warganet tersenyum melihat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang tetap memegang buku nota kecil dan pen ketika duduk bersanding di majlis berinai bersama isterinya, Bella Astillah.

Ini bukan kali pertama. Sebelum ini beliau sering dirakam membawa buku nota ke wawancara, lawatan rasmi, malah ke majlis anugerah hiburan.

Sebagai pendidik, saya melihat sesuatu lebih menarik. Dalam zaman telefon pintar dan AI, seorang tokoh muda masih setia dengan pen dan kertas. Kajian mengenai cara manusia belajar memberi beberapa sebab yang baik untuk tabiat ini.

Kita hidup dalam zaman serba pantas. Mesyuarat dirakam, nota ditaip, gambar slaid diambil dengan telefon. Semuanya tersimpan kemas. Cuba tanya diri sendiri, berapa banyak yang betul-betul melekat di kepala?